Sifat 3S resipi hadapi kesulitan
Oleh Sharifah Hayaati
Pekerja perlu berfikiran positif untuk capai kejayaan
ALHAMDULILLAH, setiap hari kita menempuh kehidupan dengan pelbagai  keadaan. Ada ketikanya kita mampu serta berjaya melaluinya dengan tenang  dan mudah. Namun, ada ketikanya kita berhadapan kesulitan, cabaran dan  rintangan. Jika diberi dua pilihan, sama ada ingin melalui kehidupan  mudah atau melaluinya dengan payah, tentu kita memilih yang mudah. 
Islam amat menggalakkan umatnya menggunakan cara mudah seperti amalan  Nabi SAW. Namun, perlu disedari kesulitan dalam kehidupan sebenarnya  sunnatullah bertujuan menguji hamba-Nya. Dalam setiap ujian yang berlaku  sama ada kesenangan atau kepayahan, pasti ada hikmah atau pengajaran  kepada manusia sekiranya kita mengetahui dan bersabar.
Dalam ujian  itu terkandung pendidikan sebelum Allah mengurniakan markah berupa  kejayaan, keberkatan dan pahala. Ujian itu mendidik hati tunduk ikhlas  dan mengakui betapa lemahnya diri tanpa pertolongan-Nya.
Justeru,  dalam mencari rezeki atau bekerja dan mengurus organisasi, masalah tidak  dapat dielakkan. Bahkan apabila masyarakat bertambah ramai dan negara  semakin maju maka seolah-seolah ia menjadi harga yang perlu dibayar  kerana pengurusan kehidupan semakin rumit. Misalnya, kepelbagaian sikap,  persaingan dalam kerja, konflik dan kepentingan mencapai kualiti  perkhidmatan yang tinggi menyebabkan setiap pekerja perlu sentiasa  berusaha membina kekuatan diri. 
Islam sebagai cara hidup  menggariskan tiga panduan utama sebagai resipi ketahanan berguna dalam  menghadapi kepayahan iaitu sifat sabar, solat dan siap sedia (3S) dalam  mengharunginya. 
Dalam Sunan al-Termizi daripada Abdullah bin  Abbas ra berkata: “Aku pernah bersama Rasulullah SAW dan baginda berkata  kepadaku: “Wahai anak, sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa  kalimah: Jagalah Allah, pasti Dia menjagamu. 
Jagalah Allah,  nescaya kamu mendapati-Nya di hadapanmu (dengan pertolongan-Nya),  Kenallah Allah dalam kesenangan, pasti Dia mengenalmu dalam kesusahan  dan sabdanya lagi, ketahuilah kemenangan ada bersama kesabaran.” 
Sekiranya kita cenderung melihat masalah sebagai rintangan kepada  kejayaan, berusahalah menguatkan hati dan mengubah pemikiran dan  melihatnya sebagai peluang berjaya. Kaedah pertama ialah melaluinya  dengan sabar dengan membayangkan nikmat kesenangan hidup yang lebih luas  dan tidak terhitung dianugerahkan Allah SWT. Kejayaan yang diraih hasil  kesabaran lebih indah untuk dikenang, kerana di sebalik kemanisan itu  ada pengalaman pahit dan sukar. Pengalaman itu mampu melahirkan  kemahiran yang diperlukan dalam melahirkan individu profesional dalam  organisasi. 
Kesabaran adalah rahsia kejayaan. Ia dinyatakan  lebih daripada 90 kali dalam pelbagai bentuk dalam al-Quran. Ibn  Taimiyyah pernah ditanya: “Dengan cara apakah kepemimpinan diperoleh?  Dia menjawab dengan kesabaran dan keyakinan seperti firman Allah SWT  bermaksud: “Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin yang memberi  petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar dan meyakini ayat  kami.” (Surah al-Sajdah, ayat 24) 
Kedua membina ketahanan diri  melalui solat sebagai perisai. Justeru, peliharalah solat, berdoa dan  perbanyakkan beristighfar kepada Ilahi agar diberikan hikmah dan  kejayaan yang diberkati. 
Dalam kesibukan kita mencari rezeki,  jangan sampai menggadaikan solat atau menjadikannya sebagai penguat diri  hanya ketika ditimpa kesusahan. Usaha menyediakan ruang solat yang  selesa di tempat kerja perlu dilihat sebagai kewajipan organisasi dalam  memelihara solat warga kerjanya. Jangan hanya kebajikan atau  tanggungjawab sosial diberi keutamaan sedangkan tiada peruntukan  menyediakan ruang beribadat yang selesa. 
Ketiga, hendaklah  kita sentiasa bersiap sedia. Dalam konteks organisasi, pelbagai  perancangan strategik boleh dilakukan, termasuk usaha menguatkan akal  dan hati dengan menentukan hasrat mencapai kejayaan. Penentuan ini mampu  memberi tenaga dalam mengorak strategi. Kata-kata hukama ada menyebut  matlamat yang ingin dicapai adalah rahmat Allah. Jika tidak, ibu enggan  mengandung dan petani enggan bercucuk tanam. Ertinya, kerana  membayangkan hasrat yang ingin dicapai iaitu zuriat dan hasil tanaman  itulah, maka ibu dan petani sanggup mengharungi kepayahan. 
Selain itu, kita perlu memelihara hubungan dengan persekitaran dengan  memupuk kemahiran interpersonal atau interpersonal kompeten seperti  memahami watak, sikap rakan sekerja, memupuk sifat empati, menghormati  dan bertanggungjawab. Insya-Allah, kita pengemudinya selepas dayung ada  di tangan dan dengan sifat tawakal, Allah SWT akan memudahkan segala  kepayahan. 
Penulis ialah pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
 
No comments:
Post a Comment