Peristiwa
Israk dan Mikraj (perjalanan Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram
menuju Masjidil Aqsa, kemudian mikraj ke Sidratul Muntaha) yang
diabadikan di dalam al-Quran merupakan satu proses pengukuhan dan
penyucian spiritual Rasulullah s.a.w pada masa lalu, sekali gus menjadi
‘peristiwa agung’ yang mengandungi makna yang besar untuk dihayati oleh
umat baginda pada masa kini.
Meskipun
terdapat jurang perbezaan pendapat yang agak luas mengenai sejarah
peristiwa Israk dan Mikraj, terutama yang berkaitan dengan ketepatan
hari dan bulan serta tahun terjadinya peristiwa agung itu, namun dunia
Islam keseluruhannya memperingati tarikh 26 Rejab (malam 27 Rejab)
setiap tahun sebagai tarikh penuh bermakna.
Banyaknya
pendapat yang membahaskan perihal Israk dan Mikraj ini telah mencipta
ruang polemik tersendiri dalam periwayatan ‘perjalanan agung’ tersebut.
Di antaranya yang berkaitan dengan hakikat dan latar belakang Israk dan
Mikraj, perjalanan fizikal dan roh Rasulullah s.a.w dalam keadaan jaga,
buraq yang dinaiki Nabi s.a.w, pertemuan Rasulullah dengan para nabi,
misteri pintu-pintu langit, rahsia Sidratul Muntaha, perintah solat, dan
hikmah-hikmah besar Israk Mikraj.
Sayyid
Qutub dalam kitabnya yang terkenal, Fi Zhilal al-Quran menyatakan,
”Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa adalah perjalanan yang
murni pilihan daripada Zat Yang Maha Kasih dan Maha Lembut, yang
menghubungkan akar kesejarahan agama-agama besar dari zaman Nabi Ibrahim
dan Ismail hingga Nabi Muhammad s.a.w. Demikian pula, perjalanan agung
ini menghubungkan akar sejarah tempat-tempat suci bagi agama tauhid
(agama-agama monoteisme) yang besar sepanjang masa. Perjalanan ini
adalah untuk menberitahu seluruh manusia bahawa Muhammad adalah Nabi dan
Rasul terakhir yang menjadi pewaris agama-agama tauhid terdahulu.
Demikian pula dengan Israk Mikraj tersebut, menjadikan Muhammad sebagai
penutup seluruh Nabi dan rasul-Nya. Israk Mikraj adalah perjalanan yang
menembus dimensi ruang dan waktu, serta memiliki makna yang lebih luas
dan mendalam.”
Hanya
dalam satu malam, Allah s.w.t ‘mencipta perjalanan’ bagi Rasulullah
s.a.w untuk melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya, mulai dari
proses penciptaan alam semesta hingga ditetapkan-Nya perintah menunaikan
solat. Berjuta misteri dan keajaiban menyelubungi perjalanan suci yang
dilakukan dengan jasad dan roh Rasulullah dalam keadaan jaga itu (bukan
mimpi).
Banyak
berlaku perdebatan yang terus berlanjutan, antaranya: apakah perjalanan
Israk Mikraj itu dengan roh sahaja atau dengan roh dan jasad? Hampir
majoriti ulama mengatakan bahawa ia terjadi dengan jasad dan roh.
Pandangan yang mengatakan hanya dengan roh tidak begitu popular di
kalangan umat Islam.
Sebenarnya,
peristiwa Isra dan Mikraj hanya disebut secara umum dan sekilas saja
di dalam al-Quran. Rasulullah s.a.w tidak banyak meninggalkan hadis yang
berbicara tentang perjalanan agung itu. Bagaimanapun, kenyataan yang
telah terjadi sekarang ini menunjukkan bahawa hadis yang hanya sedikit
itu telah berubah menjadi banyak, bahkan melahirkan tafsir-tafsir baru
tentang Israk dan Mikraj.
Sejarah
membuktikan banyak kitab yang membahaskan tentang perjalanan kenabian
dan menunjukkan sedikitnya hadis yang membicarakan perihal Israk Mikraj.
Setidak-tidaknya ia dapat dilihat dalam kitab As-Sirah karya Muhammad
Bin Ishaq (85 H –151 M). Kitab adalah karya tertua dan pertama yang
berisi dalil-dalil autentik atau dapat dipertanggungjawabkan yang
membicarakan perihal Israk dan Mikraj.
Setelah
itu lahir banyak karya atau tulisan yang membahaskan Israk dan Mikraj
disertai dengan penambahan hadis-hadis yang dari segi autentiknya tidak
dapat dipertanggungjawabkan. Dengan demikian, maka lahirlah pula
pemikiran dan tafsiran yang menyatakan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj
itu tidak hanya berlaku sekali tetapi ia berlaku beberapa kali, sekali
dengan jisim (tubuh) baginda Rasulullah s.a.w, selebihnya dengan roh
yang suci.
Dalam
hal ini perlu ditegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj memerlukan
kajian yang mendalam dan usaha yang optimum untuk meneliti hadis-hadis
palsu yang dikaitkan dengan perjalanan agung Rasulullah s.a.w tersebut.
Ini penting untuk generasi yang akan datang agar dapat memahami
nilai-nilai Islam yang benar dan fakta yang betul, bukan dongengan atau
palsu semata.
Apakah
sebenarnya makna-makna tersirat yang dapat dikutip dan seterusnya
dihayati daripada peristiwa Israk dan Mikraj itu? Kenapa harus Israk dan
Mikraj dan bukan mukjizat lain yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t kepada
Rasulullah s.a.w? Dan yang lebih penting ialah untuk melihat apakah
kaitan peristiwa ini dengan keadaan yang menyelimuti diri Rasulullah
ketika peristiwa itu terjadi.
Realiti
sejarah membuktikan bahawa tiada seorang pun dari kalangan orang-orang
musyrik dan kafir yang percaya akan kejadian Israk dan Mikraj ini. Para
ulama merumuskan bahawa sebab dan hikmah daripada Israk dan Mikraj
adalah untuk menghibur diri Rasulullah s.a.w yang ketika itu dilanda
kesedihan kerana kematian bapa saudara yang tersayang, Abu Talib serta
isteri kesayangan baginda, Khadijah, juga di samping penentangan
masyarakat Taif terhadap usaha dakwah baginda yang hampir-hampir meragut
nyawa baginda.
Tahun
yang dianggap tahun kesedihan ini akhirnya dengan kekuasaan Allah s.w.t
telah ‘mengisrakmikrajkan’ Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t telah
menperjalankan hamba-Nya untuk memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan-Nya.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melihat sebahagian tanda-tanda
kekuasaan Tuhan Yang Maha Agung. Ini bermakna hikmah peristiwa Israk dan
Mikraj itu adalah khusus bagi diri peribadi Rasulullah dan dengan
perjalanan ini diharapkan dapat mengubati atau menghibur hati yang luka
itu.
Sheikh
Thanthawi Ahmad Umar menyatakan dalam majalah Mimbar aI-Islam, “Ketika
Rasulullah kembali dari perjalanan agung tersebut, baginda kelihatan
begitu ceria, bersemangat dan bahagia. Kedukaan, kepedihan benar-benar
telah lenyap dalam diri Rasulullah saw.” Malah dikatakan bertambah
yakinlah Rasulullah akan kekuasaan Allah dan ini memberi semangat yang
lebih kuat untuk meneruskan tugas kenabiannya.
Namun
begitu, ada juga yang mengatakan peristiwa tersebut tiada kaitan dengan
‘tahun kesedihan’ Rasulullah kerana sesungguhnya peristiwa itu terjadi
semata-mata atas kehendak Allah s.w.t, sesuai dengan kekuasaan dan
kudrat-Nya. Allah menperjalankan Muhammad sesuai dengan kehendak-Nya
untuk memperlihatkan sebahagian tanda-tanda kekuasaa-Nya kepada sesiapa
sahaja yang Dia kehendaki. Malah sesetengah ulama mengatakan perjalanan
agung itu sama sekali tidak ada kaitan dengan hiburan dan pencarian
kesenangan dan kebahagiaan luaran diri Rasulullah, tetapi terkandung di
dalamnya perintah untuk menggunakan akal fikiran dan mata hati untuk
mencari hikmah lebih besar yang terdapat di dalam peristiwa agung itu.
Dalam
hal ini, Syeikh Muhammad al-Ghazali menulis bahawa hikmah Israk dan
Mikraj ini adalah seperti yang berikut: “Allah ‘Azza wa Jalla memberi
kesempatan kepada Rasulullah untuk melihat tanda-tanda dan kejadian yang
amat luar biasa, yang terjadi di atas kekuasaan Allah, agar lahir
keyakinan dan penyerahan diri kepada Allah dalam kalbu, dalam menghadapi
tekanan orang-orang kafir pada waktu itu.”
Sejarah
juga mencatatkan bahawa sebelum Nabi Musa a.s diutus menjadi nabi,
Allah telah memperlihatkan kepadanya keajaiban-keajaiban kekuasaan-Nya,
dengan memerintahkan Musa a.s melempar tongkat yang tergenggam di
tangannya, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: “Allah berfirman:
’Lemparkanlah ia, wahai Musa.’ Lalu dilemparkanlah tongkat itu, maka
tiba-tiba ia menjadi seekor ular yang menjalar dengan pantas. Allah
berfirman: ‘Peganglah ia dan jangan takut. Kami akan mengembalikannya
kepada keadaannya semula, dan kepitkanlah tanganmu ke ketiakmu, nescaya
ia keluar menjadi putih cemerlang tanpa cacat, sebagai mukjizat yang
lain pula untuk Kami perlihatkan kepadamu sebahagian daripada
tanda-tanda kekuasaan Kami yang sangat besar.” (Surah Thaha: 19-23)
Ketika
kalbu Musa a.s dipenuhi rasa takjub akan kejadian yang ajaib tersebut,
tumbuhlah rasa iman dan keyakinan yang kukuh dalam dirinya kepada
Allah. Pada ketika itulah Allah berfirman kepada Musa a.s, seperti dalam
firman-Nya yang bermaksud: “Pergilah kepada Firaun. Sesungguhnya dia
telah melampui batas.” (Surah Thaha: 24)
Al-Ghazali
menjelaskan lagi bahawa kita semua telah memahami bahawa hasil daripada
Israk dan Mikraj telah memperlihatkan sebahagian tanda-tanda kekuasaan
Allah yang teragung, meskipun hal itu terjadi dua belas tahun setelah
pengangkatan (penobatan) Muhammad bin Abdullah sebagai Nabi dan
Rasulullah s.a.w.
Apa
yang terjadi pada Musa a.s jelas berbeza dengan Muhammad s.a.w. Dan apa
yang kelihatan pada Musa terjadi sebelum pengangkatan dirinya sebagai
nabi, sedangkan kepada Muhammad terjadi dua belas tahun setelah
pengangkatannya sebagai nabi dan Rasulullah. Nilai yang tersirat
daripada perbezaan tersebut menunjukkan apa yang terjadi pada Nabi dan
Rasul adalah untuk meyakinkan umat (kaum) mereka akan kebenaran risalah
dan kenabian yang ditugaskan itu. Ini merupakan satu pembuktian untuk
para musuh yang tidak mempercayai adanya risalah dan tugas kenabian
daripada Allah s.w.t, dan tugas kenabian yang disandang Rasulullah s.a.w
lebih daripada apa yang ditugaskan kepada para nabi terdahulu, dan
tahap Muhammad lebih tinggi daripada para nabi dan rasul terdahulu itu.
Dr
Ahmad Syalabi mengatakan bahawa nilai pendidikan dari perjalanan agung
ini adalah sebagai medium penyaringan untuk mengetahui siapa sebenarnya
pengikut nabi yang setia dan kukuh imannya. Dan siapa pula yang
pura-pura beriman kerana nabi merasa perlu mengetahui masalah ini
disebabkan tugas kenabian setelah hijrah adalah amat berat , penuh
dengan jihad dan peperangan, serta pengorbanan bukan sahaja berupa harta
benda, tenaga, bahkan nyawa demi menegakkan agama Islam.
Sheikh
Abu Ali Fadhal bin Hasan ath-Tusi telah merumuskan tentang pemahaman
hakiki mengenai peritiwa Israk dan Mikraj dan pandangan ini dianggap
terbaik dari sebilangan pendapat yang ada. Di antara yang dirumuskannya
adalah:
·Allah telah ‘menciptakan perjalanan’ Rasulullah itu pada malam gelap gelita, dari Masjidil Haram, Mekah.
·Ia hanya berlaku sekali sahaja sebagaimana pendapat majoriti.
·berlaku dalam keadaan jaga (bukan mimpi)
·Dengan roh dan jasad
·Terjadi setahun sebelum Hijrah
·Menaiki buraq yang tidak diketahui hakikat bentuknya, kecuali oleh Allah s.w.t
·Menuju Baitulmaqdis (sekarang Palestin)
·Perjalanan itu sampai ke Sidratul Muntaha.
·Dalam Mikraj, telah diwajibkan solat lima waktu bagi diri baginda dan umatnya.
·Kemudian kembali ke Mekah dan perkara itu terjadi pada malam yang sama.
·Orang musyrik tidak menpercayainya, terutama Abu Jahal.
·Abu
Bakar adalah antara sahabat yang sangat meyakini dan mempercayai khabar
ini, manakala yang lain ada yang lemah imannya dan menjadi murtad.
·Al
Quran menerangkan peristiwa ini dengan begitu sederhana dan simbolik.
Oleh hal yang demikian itu, kita perlu berhati-hati dalam melihat
hadis-hadis dan periwayatan mengenainya.
Peristiwa
Israk dan Mikraj merupakan suatu ‘perjalanan agung’ yang mengandungi
makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa
takwa dan keimanan terhadap Allah s.w.t menerusi sebahagian tanda-tanda
kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada Junjungan Besar Muhammad
s.a.w. Oleh hal yang demikian itu, sebarang percanggahan pendapat
mengenai peristiwa tersebut harus dilihat dari sudut keimanan dan
ketakwaan, bukan terus-menerus memperdebatkannya dengan menggunakan
logik akal semata-mata kerana ilmu manusia tidak akan dapat menyaingi
ilmu Allah s.w.t.
Dia Maha Agung dan Maha Mengetahui akan setiap apa yang dicipta dan dikehendaki-Nya.
No comments:
Post a Comment