Sunday, September 18, 2011

Hal keadaaan solat

BismillahirRohmaanirRohiem.

Abul –Laits Assamarqandi meriwayatkan dari Salman AlFarisi r.a. berkata : Solat itu bagaikan neraca timbangan. Maka siapa yang menepati maka akan mencukupi bahagiannya dan siapa yang mengurangi maka akan mengetahui ancaman Allah sepertimana dalam surah AlMuthaffifin (oran...g-orang yang mengurangi timbangan/sukatan).

AlHasan albashri berkata Nabi s.a.w besabda :
‘ Sukakah saya beritahu kepadamu sebusuk-busuk pencurian?’ Sahabat berkata : ‘ Baiklah Ya Rasulullah’. Maka jawab Nabi s.a.w. : ‘ Iaitu orang yang mencuri dalam solatnya ‘. Ditanya : ‘ Bagaimana mencuri dalam solat itu Ya Rasulullah’. Jawab Nabi s.a.w. : ‘ Iaitu orang yang tidak menyempurnakan ruku’ dan sujudnya’.

Ibn Mas’ud r.a berkata :
‘Siapa yang tidak didorong oleh solatnya untuk berbuat kebaikan dan tidak tercegah dari mungkar, maka bermakna tidak bertambah ( dekat) dari Allah melainkan jauh.
Tegakkanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar’.

Al Hakam bin Uyainah berkata : Siapa yang di dalam solatnya memperhatikan orang-orang yang di kiri kanannya, maka tidak dianggap solat.

Muslim bin Yasar berkata kepada keluarganya : Jika aku dalam solat, maka kamu boleh berbicara kerana aku tidak mendengar bicaramu. ( menunjukkan betapa kusyuknya solat Muslim bin Yasar).

Rabi’ah bin Al- Adawiyah pernah solat dan ketika sujud mendadak matanya tercucuk oleh duri tetapi tidak merasa kecuali sudah selesai solat.

Al Hasan bin Ali r.a. ketika selesai berwudhuk wajahnya berubah warna dan ketika ditanya dari hal itu, jawabnya : ‘ Saya akan berdiri di hadapan yang Maha Kuasa’ .Dan apabila ia masuk masjid , mengangkatlah kepalanya sambil berdoa :

‘ Ya Tuhanku, hamba-Mu di pintu-Mu. Ya Tuhan yang baik (pemurah), kini telah datang orang-orang yang derhaka dan Engkau telah menyuruh orang-orang yang baik di antara kami supaya memaafkan orang-orang yang bersalah ( berdosa), sedang Engkau yang Baik Pemurah dan aku yang bersalah. Maka maafkanlah kejelekanku dengan kebaikan-Mu, wahai Tuhan yang Pemurah’. Kemudian ia masuk ke dalam masjid.

Nabi Muhammad s.a.w. melihat orang yang sedang solat meluruskan janggutnya , Maka Nabi s.a.w. bersabda :

'Andai kan kusyuk hatinya pasti kusyuklah anggota badannya’.

Ali bin abi Thalib r.a. jika tiba waktu solatnya gementar persendiannya dan berubah mukanya (warnanya) dan ketika ditanya tentang itu, jawabnya: ‘ Tiba waktu amanat yang ditawarkan oleh Allah kepada langit, bumi dan bukit dan semuanya menolak kerana khuatir daripadanya tetapi ditanggung oleh manusia dan saya tidak mengetahui apakah saya akan dapat menunaikan sebaik-baiknya atau tidak’

Kejadian ini juga terjadi kepada Ali Zainal abidin bin Al Hussain bin Ali bin abi Thalib r.a.

Saied bin Jubair berkata : Ketika kami bersama Ibnu abbas r.a. di masjid Thaif juga bersama Ikrimah, Maimun bin Mahran dan Abul-Aliyah, tiba-tiba Muazzin naik dan berseru Allahu Akhbar 2x. Tiba-tiba Ibnu Abbas menangis sehingga basah serbannya dan merah matanya.
Abul – Aliyah bertanya : ‘ Hai sepupuku, mengapa begitu sedih dan menangis? Kami biasa mendengar azan dan tidak menangis tetapi kini kami menangis kerana tangismu.
Ibnu Abbas berkata : Andaikan manusia mengetahui apa yang dikatakan oleh Muazzin pasti tidak akan dapat istirehat dan tidur’. Lalu ditanya : ‘ tolong beritahukan kepada kami apakah yang diseru oleh Mu’azzin itu ?’

Ibnu Abbas berkata :

Apabila Mu’azzin berseru Allahhu Akhbar, Allahu Akhbar maka ia bererti : Hai orang-orang yang sibuk, hentikanlah kesibukanmu untuk menyambut azan, istirehatkanlah badanmu dan segerakanlah untuk berbuat kebaikanmu.

Dan jika diseru : Asyhadu an la ilaha illallah , seolah–olah berseru : Aku persaksikan kepada semua penduduk langit dan bumi supaya menjadi saksi untukku di sisi Allah pada hari kiamat bahawa aku telah memanggil kamu.

Dan jika berseru : Asyhadu Anna Muhammada Rasulullah bererti berseru : Menyaksikan untukku pada hari kiamat para Nabi dan juga Nabi Muhammad s.a.w. bahawa aku memberitahu kepadamu tiap hari lima kali.

Dan bila berseru : Hayya ‘alash solah, seolah-olah berkata : Sungguh Allah telah menegakkan agama untuk kamu maka tegakkanlah olehmu.

Dan bila berseru : Hayya ‘alal Falah, seolah-olah berseru : Masuklah kalian dalam rahmat dan ambillah bagimu petunjuk.

Dan bila berseru Allahu akhbar, Allahu Akhbar, seolah-olah berseru : Haram segala pekerjaan sebelum mengerjakan solat.

Dan bila berkata : Laa ilaha Illallah, seolah-olah berkata : Inilah amanat tujuh petala langit dan bumi telah diletakkan di atas lehermu. Maka terserah padamu jika kamu akan melaksanakan atau mengabaikan.

Nabi s.a.w. bersabda :
Sesungguhnya adakalanya dua orang sama-sama berdiri solat, yang tidak berbeza rukuk’ dan sujud keduanya. Sedang perbezaan antara kedua solat itu bagaikan jauhnya perbezaan langit dan bumi. Yakni perbezaan kusyuk’ masing-masing meskipun pada zahirnya tidak terdapat perbezaan.

Hatim Azzahid ketika masuk ke tempat Isham bin Yusuf ditanya : ‘ Ya Hatim, bagaimana anda menyempurnakan solat? Jawabnya : ‘ Jika telah hampir waktu saya telah siap berwuduk dengan sempurna. Kemudian tegak di tempat solat dengan semua jiwa ragaku sehingga terbayanglah Ka’abah seakan-akan di hadapan mataku dan maqam tepat di dadaku sedang Allah mengetahui segala yang ada di dalam hatiku sedangkan kaki bagaikan ada di atas titian sirat dan syurga di kanan sedang neraka di kiriku. Dan Malaikat Maut di belakangku dan aku merasa bahawa solatku ini adalah yang terakhir.

Lalu takbir dengan kusyuk’ dan membaca dengan penuh perhatian tafakkur dan rukuk dengan tawadhuk ( merendah diri) dan sujud dengan tunduk merendah meminta.
Kemudian duduk sesempurna-sesempurnanya lalu tasyahhud dengan pengharapan dan ketakutan. Kemudian salam menurut sunnaturrasul. Kemudian saya serahkan semua itu dengan ikhlas dan bangun dari solat itu denan persaan takut dan berharap (takut bila tidak diterima dan berharap semoga diterima oleh Allah ). Dan saya jaga semua itu dengan kesabaran.

Isham bertanya : Sejak berapa lama solatmu yang sedemikian ? Jawab Hatim : ‘ Sejak tiga puluh tahun’. Maka menangislah Isham dan berkata : ‘ Saya belum pernah solat seperti itu sama sekali’.

Orang yang solat, ramai tetapi yang sempurna menegakkan solat sangat sedikit . Kerana itu Allah menyebut sifat orang Mukmin ialah yang menegakkan solat dan menyebut orang munafik orang yang solat semata-mata sehingga Allah mengancam (maksudnya) : ‘ Iaitu mereka yang solat kerana orang dan enggan membantu pada orang lain’.

Sedang orang muk’min disebut : ‘ Mereka yang menegakkan solat dengan sempurna dan dari rezeki pemberian Kami, mereka bersedekah, membantu orang lain’.

Seorang hakim dari Faris berkata : ‘Jika wuduk dengan was-was lalu solat juga dengan was-was dan selalu teringat pada kesibukan dunia, maka tidak akan diterima daripadanya (solatnya).

Seorang hakim berkata : Jika orang-orang sibuk dengan enam perkara maka sibukkanlah dirimu dengan enam perkara :

1) Jika orang-orang sibuk memperbanyak amal, maka sibukkanlah dirimu dengan sempurna dan baik amalnya.

2) Jika orang-orang sibuk dengan sunnat-sunnat, maka sibuklah kamu dengan menyelesaikan yang fardhu.

3) Jika orang-orang sibuk memperbaiki yang zahir, maka sibukkanlah dirimu dengan memperbaiki yang batin.

4) Jika orang-orang sibuk menyelidiki kesalahan orang lain, maka sibukkanlah dirimu menyelidiki kesalahan kamu sendiri.

5) Jika orang-orang sibuk dengan kesenangan dan kemakmuran di dunia, maka sibukkanlah dirimu dengan kesenangan dan kemakmuran akhirat.

6) Jika orang-orang sibuk berusaha mencari keredhaan makhluk, maka sibukkanlah dirimu dengan usaha untuk keredhaan Allah s.w.t.


Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment