 SEJARAH AD-DAJJAL
SEJARAH AD-DAJJALAda riwayat Muslim yang diterima dari  Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah  s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama  Rasulullah s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar.  Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang  bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.” Kemudian berkata:  “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?”  Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”
Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi  Allah aku me-nyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti  dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu  bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang  menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu  kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa  yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.
Katanya dia bersama 30 orang kawannya  pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan  ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka  tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di  atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau  menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu  mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak  nampak mana jantina dan duburnya.
Mereka bertanya kepada binatang itu:  “Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu menjawab: “Saya adalah  Al-Jassasah.” Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?” Binatang itu hanya  menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk  menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan  kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.
Di sana mereka menjumpai seorang lelaki  yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang  sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi,  begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya:  “Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah  mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa  kamu ini?”
Mereka menjawab: “Kami adalah manusia  berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak  besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di  lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan  tempati ini.
“Pada mulanya kami berjumpa dengan  binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali  jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa  maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke  tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin  berjumpa dengan kamu.”
Itulah sebabnya kami datang ke tempat  ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa  tuan sebenarnya.” Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan  mereka terus sahaja mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu kepadaku  keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” nama tempat di negeri Syam.  Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar itu  menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?” Setelah mereka  menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku  takut pokok itu tidak berbuah.”
Orang besar itu bertanya lagi:  “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.” Mereka menjawab: “Tentang  apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya  apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.” Lelaki itu  berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu  berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa  yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke  Madinah.” Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh  orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang  Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan dia  terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah  mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.
Orang besar itu berkata lagi: “Memang  begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya.” Kata orang  besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah  Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan  menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku  jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat  memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka  aku tidak dapat menembusinya.”
Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah  s.a.w menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah  negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara  sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka  menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w berkata lagi:  “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu  bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya,  iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki  Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman.  Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah  s.a.w sambil menunjuk ke arah timur.
Rasulullah s.a.w telah menguatkan lagi  bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa  Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfihan.
KHUTBAH RASULULLAH PERIHAL DAJJAL
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau  berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam  khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah  bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang  paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi  yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku  adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir.  Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu.  Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu,  maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang  sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya  Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.
“Dajjal itu akan datang nanti dari satu  tempat antara Syam dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu  cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini  akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan  oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.
“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku  dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah  itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar  tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya  sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan  juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca  oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.
“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia  membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan  syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang  disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada  Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya  itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi  sejuk.
“Di antara tipu dayanya itu juga dia  berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah  atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku  aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan  pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama,  sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata  kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”
“Di antara tipu dayanya juga dia tipu  seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan  kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku  ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati  tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa  Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman,  menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.”
Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”
Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara  tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba  hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya  tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia,  Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak  me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu  tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.
“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang  yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai  Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan  tanam-tanaman mereka pun menjadi.
“Tidak ada kampung atau daerah di dunia  ini yang tidak didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua  kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat.  Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian  ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah  bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan  seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar  dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut  Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.
Dalam hadis yang lain, “di antara fitnah  atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat  kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka  disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan  hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat  mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya.  Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya  menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan  tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman  mereka subur.”
Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah  s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya,  iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak  dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak  dipercayai.”
Dari Jabir bin Abdullah, katanya  Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah.  Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak  sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar  Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada  di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian  mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling  banyak lari ketika itu.
Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”
Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang  diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: “Pernah satu hari Rasulullah s.a.w  masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis  beliau bertanya: “Mengapa menangis?” Saya menjawab: “Ya Rasulullah,  engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya.”
Rasulullah s.a.w berkata: “Seandainya  Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu  dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu  tidak buta dan cacat.”
Dari Jabir bin Abdullah, katanya  Rasulullah s.a.w bersabda: “Dajjal muncul pada waktu orang tidak  berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada  empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu  hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu  minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa.”
Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah,  tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima  waktu juga?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukurlah berapa jarak solat yang  lima waktu itu.”
Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan  berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan  izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya sambil ditahannya  matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu  bulan.
Setelah dia tunjukkan kehebatannya  menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu  ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka semua menjawab: “Ya, kami  ingin.” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari  begitu cepat berjalan.
Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w  bersabda: “Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di  tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri pun tidak pasti  apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun.  Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah  Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal itu.”
Dan menurut ceritanya setelah munculnya  Dajjal hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada  Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal  12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita.
Wallahu A’lam.
 
 
No comments:
Post a Comment