Thursday, October 27, 2011

Bila isteri berleter

Bila Isteri Berleter

Selepas makam malam bersama-sama dengan isteri dan anak-anak, kita pun seperti biasalah, mengadap komputer membuka e-mail. Tersenyum simpul jika e-mail yang kita hantar tu dibalas oleh netters yang lain dengan berbagai-bagai gaya dan nadanya. Mulalah jari jemari kita bertambah asyik menari-nari di atas keyboard ingin membalas dengan segera agar kesinambungan isu yang kita bawa tu bertali arus di alam maya ini. Kita tenggelam di dalamnya.
Tersentak kita apabila isteri berlalu di belakang merungut-rungut kerana anak-anak kita tak mahu dengar cakapnya. Kita sabarkan telinga dengan alasan dah memang perangai anak kita tu begitu. Maka kita teruskan juga ketukan irama keyboard. Idea datang dengan lajunya bagaikan turunnya air hujan di musim tengkujuh. Rasa sayang untuk berhenti.
Tersentak lagi kita kali kedua apabila nama kita disebut-sebut dalam rungutannya itu walaupun sebutannya tidak sejelas pembaca berita buletin utama. Isu yang jelas dibawa oleh isteri kita semasa rungutannya kali ini ialah tuala mandi yang kita pakai tadi terjelepok di atas katil, stokin kita bersepah-sepah di bawah sofa, misai dan janggut yang kita "trim" di depan cermin di atas meja "soleknya" itu tidak kita bersihkan.... Kunci kereta kita baling di atas meja depan. Dia amat bimbang, esok pagi kita juga yang "hot" kelam kabut mencarinya kerana telah dibaling ke tempat lain oleh anak kecil kita.
Idea untuk menjawab e-mail mula terhakis sedikit demi sedikit kerana telinga telah mula memberikan fokus kepada isu leteran isteri kita tadi. Mulalah rasa dihati nak marah kepadanya kerana dia tidak mengiktiraf usaha kita yang sedang melakukan sesuatu yang murni di arena dakwah baru ini. Sepatutnya apabila dia melihat sahaja kita membuka e-mail dan sedang menjawab isu-isu dakwah ini, dia hendak memastikan suasana sekeliling tenang agar kita dapat memberikan tumpuan. Pastikan anak-anak tidak mengacau kita. Tidak melihat apa yang sedang kita taip. Tetapi sekarang, dia pulak yang berleter.*#@!..
Bagaimana boleh terjadi demikian?
Isteri kita sayang kepada kita. Dia amat perihatin akan tingkah laku kita. Dia mahukan kita menjadi seorang suami mithali baginya dan anak-anaknya. Dia mahukan setiap tingkah laku kita boleh menjadi ikutan oleh anak-anaknya. Paling kurang dia akan menggunakan kebaikan tabiat kita semasa dia memberi nasihat kepada anak-anaknya.
"Abdullah, cuba ikut macam abah, dia gantung baju dan seluarnya dengan kemas di rak baju tu selepas balik dari kerja. Kan ke senang nak pakai esok pagi nanti. Tak le kelam-kabut sangat... ini macam kapal karam aje bilik ni ....."
Bagi diri kita pula, perangai dan tabiat masa kita muda-muda dulu atau semasa bermanja-manja dengan emak, masih kita anuti hingga sekarang. Seperti contoh, baling saja uniform selepas balik dari sekolah. Bila pagi esoknya, senang-senang minta dari mak. Disebabkan mak kita dulu tidak bekerja, maka dengan lemah lembutnya dia cari dan berikan kepada kita.
Sekarang, kita pun nak bermanja dengan isteri seperti mana kita bermanja dengan emak. Kita baling saja baju, seluar, tali pinggang, stokin, kunci kereta dan sebagainya di atas katil selepas balik dari kerja. Esok paginya kita mengharapkan kekasih kita itulah tolong carikan stokin yang kita baling semalam untuk kita. Waktu ni, dia pun sibuk juga nak streka bajunya, tudungnya (bagi yang kerja), nak mencari stokin anak-anak, cari pensil anak-anak dan macam-macam lagi... akhirnya kita "tension" – dia pun "tension".
Jadi, tiada cara lain baginya melainkan, mengulangi "nasihatnya" dari semasa ke semasa secara lisan (berleter) agar suami yang tercinta itu sedar dalam kelenaan tabiat lama dan mahu merubah tabiat itu. Memang inilah sahaja "senjata" yang paling berkesan yang selalu digunakan oleh isteri kita. Kita akan terus "tersedar" jika dia berleter. Jika kesedaran kita tu hanya berubah sehari dua sahaja dan kita ulangi tabiat buruk tu pada hari ketiganya, maka dia akan berleter menggunakan "machine gun" pula. Begitulah seterusnya sehingga kita benar-benar telah berubah kepada tabiat yang dia inginkan.
Oleh itu, bila dia berleter, semak diri kita. Betul tak apa yang dileterkan itu? Jika betul, bersabarlah, niatlah dalam diri kita untuk berubah demi kesukaan dan kesenangannya jua. Baginda SAW pernah bersumpah untuk mengharamkan makan madu atas dirinya semata-mata untuk menyukakan hati isterinya. Namun ditegur oleh Allah SWT.
Pointnya di sini ialah, Baginda SAW sentiasa cepat melihat diri sendiri dan cuba sedaya upaya merubah tabiatnya semata-mata untuk menghiburkan isterinya.
"Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isterimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahrim:1)
Jadi setiap kali dia berleter, semak diri kita... jika betul, kita ubahlah perangai. Akhirnya nanti, tiada point untuk dia berleter.... kita pula yang rindukan leterannya, kita buat perangai lain yang dia tak suka, dia berleter lagi. Maka begitulah hidup berkeluarga... sentiasa diuji.
Hanya suami yang bersabar dan menguruskannya sebaik mungkin terhadap perkara yang dia benci terhadap isterinya itu sahajalah yang mendapat kebaikan yang banyak dari Allah SWT. (Lihat An Nisa:19)

No comments:

Post a Comment